Friday, July 30, 2010

Today a Reader...Tomorrow a Leader!!




Mengisi Masa di celah2 masa untuk Membaca.......



اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ *

" Iqra......Bacalah Dengan Nama TuhanMu yang Menciptakan......" (Surah al-Alaq:1)

Begitulah awal-awal Wahyu diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W yang menyeru manusia untuk membaca. Ini menunjukkan peri penting membaca dalam kehidupan manusia sebagai salah satu gerbang ilmu pengetahuan. Tanpa membaca manusia lemah daya pemikiran kurang idea untuk mengolah input menjadi output yang berguna demi kebaikan ummah.

Permulaan surah ini, mulai ayat 1 hingga ayat 5 merupakan wahyu pertama diturunkan. Wahyu ini diturunkan ketika Nabi saw sedang menjernihkan jiwanya dengan ibadat, lalu Jibril menyuruhnya supaya membaca. Perintah Jibril ini merupakan bimbingan pertama sebelum memulakan langkah-langkah seterusnya dalam perjalanan da`wah yang baginda dipilih menerajuinya.

Sayyid Qutb tatkala mengulas ayat ini menyatakan: Bahagian pertama surah ini meletakkan batu asas dalam konteks keimanan yang luas iaitu setiap urusan, gerak geri, langkah dan tindakan hendaklah dimulakan dengan menyebut nama Allah kerana Dialah yang mencipta dan Dialah juga yang mengajar. Dari Allah berasalnya semua kejadian dan kepada-Nya dikembalikan semula ciptaan-Nya

Bacaan yang diperintah Malaikat Jibril supaya Nabi membacanya bukan sebarang bacaan, tetapi bacalah dengan menyebut nama Allah. Di sini, bermulalah dengan rasminya penurunan al-Qur`an kepada Nabi Muhammad saw dan pelantikannya sebagai Rasul.

Wahyu sulung yang menyuruh agar Nabi membacanya, menunjukkan pembinaan manusia yang diwahyukan kepada Nabi saw adalah berasaskan ilmu pengetahuan melalui jalan pembacaan. Tidak dinafikan fenomena menulis dan membaca wujud sejak beratus tahun sebelum kelahiran Islam lagi, tetapi perkembangan ilmu pengetahuan hanya lancer sejurus selepas kebangkitan Islam.

Ribuan jilid kitab-kitab Islam dalam pelbagai bidang ilmu yang merujuk maklumatnya kepada al-Qur`an adalah satu mukjizat yang sangat menakjubkan dan sekaligus membuktikan agama ini adalah agama yang berasaskan tulisan dan bacaan, walaupun kemudahan alat-alat tulis amat terhad pada beberapa abad pertama, namun sumbangan umat Islam dalam bidang ini tidak wajar diperkecilkan.

Kesan pembacaan yang dihasilkan menerusi pena dan tulisan, lebih berpengaruh dari suara yang didengar kerana bacaan mewujudkan intraksi antara pembaca dan bahan yang dibaca, lain halnya dengan suara yang hanya didengar, tidak semestinya wujud secara fizikal bahan yang didengar. Mungkin nama al-Qur`an yang bererti baca itu membawa erti supaya ia dibaca bukan hanya didengar atau disimpan semata-mata tanpa dibaca.

Pembacaan yang disuruh dengan menyebut nama Allah dengan sendirinya menentukan matlamat dan hala tuju pembacaan, ia tidak dibaca untuk memperdengarkan suaranya yang merdu, tidak dibaca untuk dipergunakan oleh manusia yang melampaui batas-batas iman, malah pembacaan adalah untuk menjernihkan hati dan menyeru orang ramai kepada jalan hidayat yang diredai Allah.

Apabila ilmu dikuasai melalui baca, maka sesiapa yang tidak membaca seolah-olah pintu ilmunya tertutup. Kalangan ilmuwan yang banyak membaca seharusnya menjadi rujukan kepada semua peringkat usia dalam masyarakat dan seharusnya nilai-nilai ilmu hendaklah dijadikan ukuran bagi mencapai sesuatu penganugrahan.

Membaca Satu Kewajipan

Wahyu “Iqra`” merupakan amanah sulung dalam perutusan Allah kepada Nabi Muhammad saw untuk disampaikan kepada umat manusia yang rata-rata pada ketika itu tenggelam di dalam lumpur syirik, kejahilan dan khurafat. Amanah ini merupakan tonggak kepada tamadun Islam yang bakal ditegakkan di muka bumi ini melalui syariat Islam pimpinan Nabi Muhammad saw yang berasaskan ilmu yang diisyaratkan dengan perintah membaca dan menulis.

Wahyu ini dengan jelas menjadikan ilmu sebagai asas yang disimbolkan dengan membaca dan menulis dengan pena, tetapi kepada siapa ia dikhitabkan?. Umum Mufassirin menjawab, ia dikhitabkan kepada Nabi saw ketika baginda sedang beribadat di dalam gua Hira`, mereka mengaitkan hubungan munasabah di antara ayat pertama itu dengan hadith Jibril yang menyuruh beberapa kali supaya Nabi membaca, sambil memeluknya dengan kuat hinggalah dia menghilangkan dirinya dari pandangan Nabi saw.

Tidak ramai Mufassirin mengulas ayat ini sebagai salah satu daripada ayat hukum, meskipun perintah membaca itu jelas menunjukkan wajib membaca bagi menyempurnakan tuntutan agama seperti juga dengan perintah-perintah menegakkan kebenaran, keadilan, menyempurnakan janji dan lain-lain. Kewajipan ini bukan sahaja ditujukan kepada Nabi saw, malah meliputi seluruh umatnya. Ini kerana tiada dalil menunjukkan perintah ini khusus kepada Nabi saw sedangkan umatnya dikecualikan.








Hazirah Esahal

1 comment

August 4, 2010 at 6:16 AM

pic tu kt uitm nti ke??

Post a Comment
Copyright © 2012 Reserved To Hazirah Esahal
Design By Yuu Hidayu