Monday, March 16, 2009

Dipercayai Lebih Utama daripada DiCintai...


Semakin sukar mencari pemimpin yang boleh dipercayai. Padahal kalau ditanyakan apakah syarat utama untuk menjadi seorang pemimpin? Jawabnya ialah kepercayaan (Thiqah). Itulah cabarannya. Terlalu sukar untuk mempercayai seseorang pada masa kini.

Di Amerika, dengan nada sindiran ada yang mengungkapkan:

“ We though we could trust the military, but then came Vietnam;

We though we could trust the politicians, but then came Watergate;

We though we could trust the engineers, but then came the Challenger disaster…..”

Tanpa kepercayaan, kita hilang segala-galanya. Kepercayaan adalah faktor paling utama yang menentukan kejayaan satu-satu hubungan, sama ada yang berbentuk personal mahupun professional. Apabila ada kepercayaan, maka prasangka, cemburu, marah, hasad dengki dan lain-lain sifat mazmumah yang boleh menggugat perhubungan, akan dapat diatasi.

Bagaimana membina kepercayaan? Jawabnya, cakap dan sikap kita mesti selari. Itulah integriti-sifat amanah,jujur, dan tulus yang dipraktikkan dalam apa jua keadaan dan masa. Itulah asas untuk orang mempercayai kita atau sebaliknya. Pengikut mesti percayakan pemimpinnya. Bila orang mempercayai kita, pengaruh kita meningkat, kita Berjaya dalam memimpin.

Ingat, kepimpinan adalah pengaruh!! Inilah rahsia kejayaan kepimpinan Rasulullah S.A.W. Keunggulan kepimpinannya diawali oleh kepercayaan masyarakatnya sehingga Baginda digelar al-Amin sebelum kerasulannya dan diperkukuhkan lagi dengan sifat siddiq (benar) dan amanah selepas itu.

Kata bijak pandai, dipercayai lebih utama daripada dicintai. Kita selalunya merasa beruah apabila dicintai sama ada oleh isteri, ibu bapa atau sahabat-sahabat. Tetapi percayalah, jika kurang dipercayai, lama-kelamaan cinta orang kepada kita akan terhakis. Lihatlah betapa banyaknya hubungan yang terputus antara ibu bapa dengan anak, suami dengan isteri, pemimpin dengan pengikut, lantaran hilangnya kepercayaan.

Bila hilang kepercayaan, rasa cinta, hormat, kasih dan taat akan musnah. Sampai bila pun manusia lebih mempercayai matanya berbanding telinganya. Maksudnya, apa yang dilihat (perbuatan) lebih berkesan untuk meraih kepercayaan berbanding apa yang didengar (percakapan). Ataupun, dalam erti lainnya, “Action speaks louder than Words”.

Jadi, apabila kita merasakan orang bawahan (subordinate) kita sama ada ahli, pekerja atau pengikut, semakin sukar memberi ketaatan, kerjasama, dan kesetiaan itu adalah petanda kita sudah hilang pengaruh. Hilang pengaruh, kerana hilangnya kepercayaan dan hilangnya kepercayaan bila tidak ada integriti. Tegasnya, kita tidak boleh memimpin hanya berbekalkan cinta. Kepercayaan lebih utama.


Rujukan: Majalah Solusi (isu:3)




Hazirah Esahal
Copyright © 2012 Reserved To Hazirah Esahal
Design By Yuu Hidayu